KM Melaka dipilih Pengerusi Jawatankuasa Penasihat AGGC
Pemilihan Idris diputus sebulat suara pada mesyuarat di ADB, Manila
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Asian Green Growth Committee (AGGC) pada mesyuarat di Ibu Pejabat Asian Development Bank (ADB) di Manila, Filipina.
Pemilihan Idris diputuskan secara sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa AGGC yang menghadiri mesyuarat berkenaan kelmarin, termasuk Naib Presiden Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI), Emani Kumar.
Laksana teknologi hijau
Ahli lain ialah Penasihat Naib Presiden ADB (Pengurusan Pengetahuan dan Pembangunan Mapan), Sonia Chand Sandhu; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Datuk Dr Dionysius SK Sharma serta Pengarah dan Penaung Ekonnect Knowledge Foundation, Dr Prasad Modak.
Kualiti hidup lebih baik
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Idris berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha menjadikan Melaka peneraju utama melaksanakan teknologi hijau ke arah mewujudkan kelestarian hidup, seterusnya keselesaan buat generasi akan datang.
“Aplikasi teknologi hijau selaras konsep pembangunan mapan, perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Usaha kita adalah memastikan generasi akan datang dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Sonia berkata, Idris sangat konsisten dan komited dalam merealisasikan misi hijau bagi Melaka, malah sudah menghadiri lebih 20 forum tempatan atau antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman menjayakan misi hijau.