KWAP tinjau beli pusat beli-belah
Pengurus dana pencen cadang tingkat pelaburan dalam pasaran hartanah tempatan
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP bercadang meningkatkan pelaburannya dalam pasaran hartanah tempatan dengan meninjau untuk membeli hartanah berkaitan peruncitan seperti pusat beli belah tahun ini. Malah, pengurus dana pencen itu juga bercadang untuk membangunkan tanah miliknya yang terletak di kawasan utama Segitiga Emas KL.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (gambar), berkata setakat ini KWAP sudah memiliki dua bangunan pejabat dan dua bidang tanah yang terletak di kawasan utama.
Beliau berkata, selepas memiliki dua bangunan pejabat, KWAP kini meninjau untuk melabur melangkaui segmen bangunan pejabat dengan berminat untuk membeli pusat beli belah yang sudah mempunyai penyewa utama.
“Kami melihat terdapat peluang yang besar untuk melabur dalam hartanah di pasaran tempatan.
“Kami juga bercadang untuk membangunkan projek hartanah dan mempelbagaikan hartanah yang kami miliki,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, minggu lalu. →
Mengulas lanjut mengenai rancangan membangunkan projek hartanah, Wan Kamaruzaman berkata, pengurus dana persaraan kedua terbesar di Malaysia itu bercadang untuk membangunkan apartmen dengan anggaran kos pembangunan kasar (GDV) berjumlah antara RM400 juta hingga RM600 juta.
Beliau berkata, KWAP sudah melantik perunding untuk mengkaji mengenai permintaan di kawasan hartanah yang akan dibangunkan itu bagi membolehkannya membuat perancangan mengenai harga dan masa yang sesuai untuk melancarkan projek hartanah berkenaan.
KWAP juga, katanya, akan bekerjasama dengan pemaju hartanah tempatan untuk membangunkan projek hartanah itu.
Pilih Jerman, Perancis
Mengenai pelaburan hartanah di luar negara, Wan Kamaruzaman berkata, KWAP sentiasa terbuka kepada peluang pelaburan hartanah di luar negara.
Beliau berkata, selepas pasaran United Kingdom dan Australia, pihaknya akan meninjau peluang pelaburan dalam pasaran hartanah di Jerman dan Perancis tahun ini.
Beliau berkata, pada Mac dan April tahun ini, pihaknya akan pergi ke negara berkenaan untuk meninjau hartanah yang sesuai untuk dibelinya.
“Kami memilih Jerman dan Perancis kerana ia adalah pasaran yang matang dan mempunyai sistem perundangan yang mantap yang mana memudahkan urusan jual beli hartanah,” katanya.
Wan Kamaruzaman berkata, selain bangunan pejabat yang sudah mempunyai penyewa utama, KWAP berminat untuk membeli hartanah berkaitan logistik dan peruncitan di luar negara yang dilihat mampu memberikan pulangan yang kukuh.