Penduduk bosan jalan tak dibaiki
Kerosakan Jalan Lencongan Barat serta laluan Sungai Petani ke Butterworth sudah bertahun-tahun undang bahaya
Bosan dan bimbang, itulah yang dihadapi pengguna apabila terpaksa melalui jalan yang rosak dan bertampal selain tidak sekata di sekitar bandar ini yang berlarutan sejak bertahun.
Lebih teruk, jalan berkenaan bukan saja jalan utama yang dilalui pengguna dari beberapa daerah sekitar ke bandar ini antaranya membabitkan Jalan Lencongan Barat serta laluan Sungai Petani ke Butterworth, ia juga menjadi antara jalan utama ke lokasi pelancongan di bandar ini seperti Tapak Arkeologi Sungai Batu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan juga Tanjung Dawai.
Tinjauan BH mendapati, permukaan jalan raya yang didakwa pengguna beralun dan bertampal dipercayai disebabkan kerja penyelenggaraan yang tidak sempurna menyebabkan pengguna perlu le- bih berhati-hati bimbang ia mendatangkan kerosakan kepada kenderaan mereka.
Ada juga kerosakan di beberapa bahagian jalan berkenaan yang sudah dibaiki, namun ia kembali rosak berkemungkinan disebabkan kerap dilalui kenderaan berat yang turut menjadikan jalan berkenaan sebagai laluan utama memandangkan pembangunan yang berlaku di sekitarnya.
Permukaan jalan tak rata
Masalah kerosakan dan keadaan permukaan yang tidak rata itu dibimbangi bukan saja boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan pengguna jalan raya berkenaan tetapi juga boleh mengakibatkan berlaku kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa.
Keadaan menjadi lebih menyulitkan apabila hujan kerana air yang bertakung menyukarkan lagi pengguna untuk membezakan permukaan yang rata dengan permukaan jalan yang rosak.
Pengguna jalan raya, Samsudin Hassan, 45, dari Pengkalan Bujang, Merbok, yang menjadikan jalan berkenaan sebagai laluan utama, tidak menafikan banyak kenderaan yang mengalami kerosakan selepas melanggar lubang di laluan itu dan tidak kurang juga berlaku kemalangan apabila pemandu kenderaan cuba mengelak daripada melanggar rekahan atau jalan yang rosak.
Katanya, masalah jalan rosak di kawasan itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah berlarutan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
“Biarpun banyak rungutan dan aduan terutama dalam kalangan penduduk setempat kepada pihak berkuasa, ia masih tidak selesai.
“Faktor cuaca dan juga berkemungkinan penggunaan bahan yang kurang berkualiti menyebabkan kerosakan yang dibaiki tidak bertahan lama,” dakwanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Choo Tai Jie, 33, dari Padang Temusu, berkata rim keretanya pernah mengalami kerosakan kerana terdapat lubang di laluan Lencongan Barat.
Katanya, pada waktu sama terdapat beberapa kenderaan mengalami kebocoran tayar selepas melanggar jalan rosak yang sama.
“Aduan sudah dibuat, bagaimanapun pihak berkuasa hanya bertindak menampal lubang berkenaan. Bagaimanapun, tidak berapa lama, kawasan yang ditampal kembali berlubang.
“Tindakan hanya menampal yang rosak dan retak tidak memberi kesan kerana sebaliknya ia menyebabkan jalan raya menjadi tidak rata dan kerosakan berulang,” katanya.
Peniaga, Mazidah Mohd Zaid, 50, berkata pengguna motosikal adalah yang paling berisiko kerana kadang kala mereka tidak sempat mengelak daripada kenderaan yang berada di belakang mereka.
“Ada juga kenderaan seperti kereta dan lori yang menggunakan laluan di sebelah kanan jalan iaitu laluan motosikal untuk mengelak daripada melanggar jalan yang rosak hingga mengundang bahaya kepada pengguna motosikal,” katanya.