Sektor awam, swasta, GLC bebas rasuah tiga tahun lagi
SPRM rampas semula harta, hasil penguatkuasaan sejak Ogos lalu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan sektor perkhidmatan awam, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersih dan bebas daripada rasuah dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata ketigatiga sektor berkenaan ketika ini agak kritikal kerana banyak amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Oleh itu, bagi memastikan sasaran yang digariskan ini tercapai, pihak saya mengambil pendekatan dengan merampas semula semua harta dan hasil rasuah.
Kembalikan hasil negara
“Hal ini perlu bagi memastikan hasil rasuah ini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan punca kepada berlaku perilaku rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut hari ini di seluruh negara bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’. Ketua Pesuruhjaya SPRM
Dzulkifli berkata, melalui strategi yang dirancang, tindakan operasi, penguatkuasaan memerangi rasuah dilipatgandakan dengan lebih agresif oleh SPRM sejak Ogos lalu.
“Kerancakan operasi penguat kuasa yang dijalankan SPRM kini memaparkan hasil luar biasa, positif dan membanggakan.
“Hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi digeruni perasuah dan mesra rakyat dilihat semakin dirasai oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, sokongan dan keinginan rakyat untuk berganding bahu bersama SPRM memerangi rasuah juga semakin bertambah dan meningkat.
“Walaupun kedengaran suarasuara sinis baru-baru ini yang begitu skeptikal dalam menidakkan sokongan rakyat terhadap usaha SPRM memerangi rasuah, saya bersama barisan pimpinan tidak akan gentar dan kekal ampuh berdepan sebarang kritikan dan cabaran,” katanya.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.