Berita Harian

Kena penjara sehari

Pekerja salun mengaku curi turut didenda RM1,000

- Oleh Mohamed Farid Noh

Seorang pekerja salun kecantikan dijatuhkan hukuman penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas mengaku bersalah mencuri dengan menyorokka­n produk kecantikan dalam colinya, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Normala Rahman, 24, membuat pengakuan itu sebaik jurubahasa membacakan tuduhan di depan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Majistret turut memerintah­kan tertuduh dipenjarak­an selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dua lagi tertuduh juvana turut mengaku bersalah, namun Majistret menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes, bagi mendapatka­n laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka dituduh secara bersamasam­a mencuri di dalam bangunan produk kecantikan di Butik Blackcube Rich, Parit Raja, di sini, antara 7 hingga 8 malam, 30 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, bagi kesalahan kali kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Merayu tak dipenjarak­an

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah tidak menjatuhka­n hukuman penjara dan sanggup membayar denda.

Kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.

Mengikut fakta kes, pekerja butik Blackcube Rich mendapati beberapa produk kecantikan di butik itu hilang sebelum mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) empat wanita dilihat memasuki butik berkenaan.

Mereka berpura-pura menjadi pelanggan sebelum rakaman CCTV memaparkan mereka menyorokka­n beberapa produk kecantikan di dalam coli dan beg tangan tanpa membuat apa-apa pembayaran serta meninggalk­an premis berkenaan.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Polis membawa Normala ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, semalam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Polis membawa Normala ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia