Berita Harian

Syor guna lampu LED di semua hospital

Bahagian Perkhidmat­an Kejurutera­an diarah buat penilaian penggunaan jenis kalimantan­g

- Oleh Amir Mamat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramania­m mengarahka­n Bahagian Perkhidmat­an Kejurutera­an kementeria­n itu melakukan penilaian segera mengenai penggunaan lampu kalimantan­g di semua hospital awam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Mengulas kebakaran kecil di Hospital Serdang, Selangor kelmarin, yang dikatakan berpunca daripada lampu kalimantan­g rosak akibat tidak mampu menampung kapasiti aliran elektrik, beliau berkata, kajian itu untuk menentukan sama ada perlu menggantik­an lampu kalimantan­g kepada lampu diod pemancar cahaya (LED).

“Kita nak kaji sama ada perlu guna lampu LED, terutama di bangunan lama hospital kerajaan. Lampu LED berisiko rendah terbakar, sekiranya berlaku sesuatu terhadap sistem pendawaian, sekali gus mungkin sesuai dipasang di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sambutan Deepavali peringkat Melaka di sini, malam kelmarin.

Yang hadir sama, Yang di-pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Laporan siap dua minggu lagi

Mengenai laporan punca kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor yang mengorbank­an enam nyawa pada 25 Oktober lalu, Dr Subramania­m berkata, laporan berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden MIC, berkata sokongan masyarakat India terhadap parti berkenaan sudah kembali pulih apabila majoriti daripada mereka menyatakan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Barisan Nasional (BN).

“Selepas berjaya menyatukan ahli parti di semua peringkat, terutama selepas pemilihan kepemimpin­an MIC tahun lalu, kita dapat lihat sokongan kaum India kepada MIC kembali pulih. Mereka memberi sokongan baik dan usaha berterusan akan dijalankan bagi mengekalka­n momentum ini.

“Harapan kita sekurang-kurangnya 70 peratus masyarakat India menyokong kita, seterusnya memberi kemenangan kepada calon BN pada PRU-14 nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia