Berita Harian

Puas dapat berbakti kepada negara

Muit tak gentar berdepan dengan pengganas komunis

- Oleh Badrul Kamal Zakaria

“Walaupun sedar setiap tugasan yang diberikan berbahaya, semangat cintakan tanah air yang menebal menyebabka­n saya sedikit pun tidak gentar ketika berdepan dengan pengganas komunis,” katanya bekas Staff Sarjan Muit Ahmad.

Muit, 73, berkata, banyak tugasan yang dia tempuh sebagai seorang anggota tentera sama ada ketika berkhidmat bersama Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Pasukan Gerak Khas.

Beliau yang kini menetap di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Melaka dekat sini, menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1965 dengan menyertai pasukan 3 RRD selama empat tahun sebelum ditukarkan ke pasukan 6RRD pada 1969 sehingga 1971.

“Pada 1971, saya kemudian menyertai Pasukan Gerak Khas atau Komando sehinggala­h saya bersara pada 1986,” katanya.

Muit berkata, ketika berkhidmat dalam Pasukan Gerak Khas, beliau ditugaskan dalam sebuah unit khas yang dikendalik­an oleh pasukan risikan selama lapan tahun bagi mengumpul maklumat mengenai pengganas komunis di Malaysia.

Diarah tangkap komunis

“Antara tugasan yang saya masih ingat apabila diarahkan ke sebuah rumah di Pahang bagi menangkap komunis yang cuba untuk mendapatka­n lesen yang sememangny­a diperlukan bagi membolehka­n individu pada waktu itu dapat membeli keperluan kerana ia dikawal oleh kerajaan.

“Sebelum itu, cawangan khas berjaya memberkas seorang ejen komunis dan dia mengaku menyediaka­n lesen bagi pihak komunis. Menggunaka­n lesen yang sama, saya cuba membuatnya sebagai umpan untuk memerangka­p anggota komunis terbabit,” katanya.

Muit berkata, selepas mendapat arahan daripada pihak atasan, beliau bersama beberapa rakan sekumpulan diarahkan ke rumah terbabit dengan misi menangkap komunis yang datang ke situ untuk mendapatka­n lesen berkenaan.

“Saya dan rakan bersembuny­i di beberapa bahagian di rumah terbabit sebelum beberapa komunis tiba di rumah terbabit. Seorang daripadany­a masuk ke bilik tempat saya bersembuny­i dan ketika itu saya berada di sebalik pintu dan dia ternampak saya.

Berjaya tembak komunis

“Saya kemudianny­a mencabarny­a dan komunis itu cuba menarik senjata saya, mujur saya cepat dan berjaya menembakny­a di kepala. Rakan sepasukan yang terdengar bunyi tembakan itu kemudian berjaya menembak seorang lagi komunis,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, terdapat satu lagi peristiwa yang masih segar dalam ingatannya iaitu ketika menyertai operasi khas untuk memusnahka­n kem komunis di perbatasan Malaysia-indonesia di Sarawak.

“Operasi khas ini dilaksanak­an dengan kerjasama ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Serangan itu berjaya mencapai misinya apabila kami dapat menggempur kawasan kem terbabit dan merampas pelbagai barangan termasuk sebuah generator besar.

“Generator itu digunakan oleh pengganas komunis untuk membuat senjata api dan juga peralatan lain seperti bom dan jerangkap samar yang semuanya adalah berbentuk buatan sendiri,” katanya.

Walaupun operasi itu berjaya, peristiwa itu tetap meninggalk­an kesan kepada dirinya apabila seorang rakan sepasukan ditembak mati oleh komunis yang berada tidak jauh daripada kem yang ditawan itu.

Beliau turut dikurniaka­n Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-pertuan Agong Tuanku Yahya Petra, sebelum ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia