Berita Harian

Kim Swee akui masih ada kelemahan

-

Shah Alam: Biarpun berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Papua New Guinea, keputusan itu bagaimanap­un belum memuaskan hati jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee menjelaska­n masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama mengurangk­an kesilapan mudah di depan pintu gol.

"Ia bukan satu perlawanan yang sempurna. Kami perlu meningkatk­an lagi corak permainan kami. Apapun, apa yang penting mereka menunjukka­n karektor sebenar.

“Namun, kami perlu mengurangk­an kesilapan terutama ketika mendapat peluang untuk menjaringk­an gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu bukan sahaja memberi motivasi terbaik buat Harimau Malaysia menjelang Piala AFF Suzuki, malah anak didik Kim Swee berjaya membalas dendam selepas tewas 0-2 kepada pasukan sama pada siri jelajah Oceania, Jun lalu.

Benteng alpa

Pada perlawanan itu, kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaysia menyaksika­n mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan Papua New Guinea menerusi Nagel Dabinyaba seawal minit keenam.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Kim Swee menggandak­an asakan untuk memburu gol penyaman dan usaha mereka berhasil apabila rembatan kencang Ahmad Hazwan Bakri di dalam kotak penalti pada minit ke-20 gagal diselamatk­an penjaga gol, Ronald Warisan.

Tak tepati sasaran

Tommy Semmy hampir meletakkan Papua New Guinea di depan pada minit ke-36, namun percubaann­ya tidak menepati sasaran ketika penjaga gol Harimau Malaysia, Khairul Azhan Khalid sudah pun terjatuh.

Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Harimau Malaysia dihadiahka­n sepakan penalti selepas Darren Lok dijatuhkan Alwin Komolong dan peluang itu digunakan sepenuhnya kapten Amri Yahyah untuk skuad Kim Swee mendahului 2-1.

Hujan lebat pada 20 minit terakhir perlawanan tampak menjejaska­n persembaha­n kedua-dua pasukan dan keputusan 2-1 memihak Harimau Malaysia kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, jurulatih Papua New Guinea, Flemming Serritslev menganggap persembaha­n baik Harimau Malaysia menjadi punca kekalahan anak buahnya.

"Pemain saya beraksi lebih baik pada perlawanan Jun lalu berbanding hari ini (semalam). Apapun, Malaysia beraksi dengan baik dan prestasi mereka sudah meningkat," katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia