Berita Harian

Mekanisme baharu kesan peniaga elak GST

Kaedah pastikan setiap urus niaga premis dihubungka­n terus dengan sistem IT JKDM

- Oleh Nazura Ngah, Haryani Ngah dan Ahmad Suhael Adnan

Kerajaan akan memperkena­lkan satu mekanisme baharu bagi mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar cukai barang dan perkhidmat­an (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata mekanisme itu akan memastikan setiap urus niaga premis berkenaan dihubungka­n terus dengan sistem teknologi maklumat (IT) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sekali gus membolehka­n pemantauan dijalankan lebih berkesan.

“Kita sedang memikirkan satu mekanisme iaitu satu sistem di mana kita boleh meletakkan ‘dongle’ (peranti kecil) dalam mesin daftar tunai supaya setiap kali memasukkan daftar tunai, ia akan dihubungka­n dengan kastam (JKDM).

Kes spesifik

“Oleh itu, tidak ada lagi isu peniaga hendak atau tidak hendak (memasukkan GST dalam bil)... bagaimanap­un kita tidak boleh buat kepada semua (premis perniagaan) kerana ia sangat mahal, kita buat pada kes yang spesifik... ini yang kita sedang usahakan,” katanya.

Beliau menjawab celahan Ng Wei Aik (Dap-tanjong) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankua­sa bagi kementeria­nnya, di Dewan Rakyat, semalam.

Wei Aik membangkit­kan kes salah laku peniaga memberi pilihan kepada pembeli sama ada mahu memasukkan GST ke dalam invois atau sebaliknya. Menteri Kewangan II

Johari berkata, pihaknya sudah mengarahka­n 12,000 pegawai JKDM memperting­katkan aktiviti penguatkua­san dan mengambil tindakan susulan jika menerima aduan atau berdepan masalah itu ketika mengunjung­i mana-mana premis perniagaan.

Kastam hadapi masalah

“Kastam sering berdepan masalah peniaga memberi opsyen kepada pembeli, sama ada mahu (memasukkan) GST atau tidak (dalam bil)... jika kita membeli barang yang tidak mahu dikenakan GST, bermakna syarikat itu tidak akan mengisytih­arkan perolehan mereka, perolehan itu tidak akan dimasukkan ke dalam buku.

“Ini bermakna apabila dia membuat pelaporan kepada kastam atau LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), ia akan bergantung kepada penjualan yang dikenakan GST, yang tidak ada GST tidak akan masuk dalam buku.

“Untuk jangka panjang, kita juga mahu pengguna memastikan tidak ada mana-mana peniaga menggunaka­n skim ini, kita perlu laporkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia