Berita Harian

Ridzuan, Latif dapat ganjaran lumayan

Giliran kerajaan Perlis beri rumah, wang tunai atas kejayaan dua anak jati negeri itu raih emas

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Atlet negara, Muhammad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang memenangi emas di temasya Paralimpik Rio, barubaru ini, mendapat ganjaran lumayan daripada kerajaan Perlis semalam.

Mereka yang juga anak kelahiran Perlis diberikan sebuah rumah teres dua tingkat bernilai RM300,000 setiap satu di negeri ini, selain wang tunai berjumlah RM100,000 setiap seorang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengumumka­n pemberian ganjaran kepada mereka itu dalam majlis sambutan wira Perlis Sukan Paralimpik Rio di Dataran Dato' Sheikh Ahmad di sini, semalam.

Azlan berkata pemberian ganjaran kepada Muhammad Ridzuan dan Abdul Latif itu adalah sebagai penghargaa­n atas kejayaan mereka mengharumk­an nama Malaysia di Rio de Janeiro, baru-baru ini.

Pada temasya sukan berprestij itu, Mohamad Ridzuan memenangi pingat emas bagi acara 100m T36 (cerebral palsy) manakala Abdul Latif bagi acara lompat jauh T20.

Tambah RM100,000

“Atas sumbangan besar mereka ini, kerajaan negeri membuat keputusan menganuger­ahkan sekurang-kurangnya rumah teres dua tingkat setiap seorang dalam tempoh terdekat.

“Lokasi rumah itu masih belum ditentukan lagi, namun ia di dalam Perlis. Pemberian rumah di negeri ini bagi kemudahan mereka dan keluarga,” katanya sambil menambah wang tunai RM100,000 turut diberikan kepada mereka atas pencapaian luar biasa itu.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, selain kerajaan negeri pihaknya turut dimaklumka­n terdapat syarikat korporat yang melabur di negeri ini berminat memberi imbuhan kewangan atas kejayaan Muhammad Ridzuan dan Abdul Latif itu.

“Saya masih belum boleh mendedahka­n nama syarikat berkenaan dan jumlah imbuhan yang bakal diberikan. Adalah lebih baik pihak itu sendiri mengumumka­n imbuhan terbabit.

“Selain itu, kita juga sedang mempertimb­angkan bentuk ganjaran kepada jurulatih yang mengasah bakat kedua wira emas paralimpik ini,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Ridzuan dan Abdul Latif turut disambut kira-kira 500 rakyat negeri ini sebelum dibawa berarak dengan bas khas sambil diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi dan kereta bermula dari Pintu Gerbang Ulu Pauh iaitu sempadan antara Perlis menuju ke pasaraya Cmart, Arau.

Konvoi berkenaan kemudian menuju Dataran Dato' Sheikh Ahmad melalui Bulatan Jubli Emas sebelum tiba ke lokasi sambutan pada jam 5 petang.

 ?? [ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH ] ??
[ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia