Berita Harian

Hospital Serdang bergantung bekalan air disalurkan SYABAS

-

Kajang: Masalah gangguan bekalan air yang menjejaska­n kira-kira 1.3 juta pengguna di empat daerah di Selangor turut memberi kesan kepada Hospital Serdang, di sini, apabila terpaksa bergantung kepada bekalan air yang diangkut lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Difahamkan, bekalan air yang dibawa lori ATM yang berkapasit­i 10,000 liter itu adalah untuk kegunaan hospital dan pesakit yang mengalami gangguan berkenaan sejak Jumaat lalu.

Tinjauan BH di hospital berkenaan mendapati, kebanyakan tandas awam ditutup dan ditampal notis ‘Gangguan masalah air’ terutama di aras bawah.

Bagi pengunjung yang sangat memerlukan menggunaka­n tandas terpaksa ke tingkat tiga berikutan aras itu kurang aktiviti pengunjung berbanding aras bawah.

Susah pengunjung hospital

Masalah itu menyusahka­n orang ramai yang ke hospital berkenaan untuk mendapatka­n rawatan, juga kalangan mereka yang menziarah ahli keluarga yang dirawat di situ.

Rata-rata pengunjung yang ditemui kecewa dengan masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Selangor, namun memahami situasi hospital yang perlu mengehadka­n penggunaan air dan mengutamak­an pesakit.

Seorang pengunjung yang juga pesara tentera, Hassan Mohamad, 46, berkata beliau melihat keadaan hospital agak ‘kelam-kabut’ sejak gangguan bekalan air berlaku.

“Saya datang bersama isteri untuk menziarah bapa saudara. Memang agak susah kerana tandas ditutup dan air pula perlahan.

“Walaupun saya tinggal di Petaling Jaya, saya dapat merasai keperitan dihadapi penduduk di kawasan ini, tambahan pula pihak hospital yang sangat memerlukan bekalan air untuk pesakit.

“Masalah ini tidak akan berlaku jika kerajaan negeri memandang serius masalah ini kerana sudah beberapa kali masalah gangguan air berlaku di negeri ini,” katanya.

Akibat gangguan itu juga, pengusaha kantin terpaksa menggunaka­n pinggan pakai buang bagi menjimatka­n penggunaan air untuk kegunaan memasak.

Seorang pengusaha yang enggan dikenali, berkata pihaknya terpaksa mengangkut air dari beberapa kawasan di Kajang yang tidak menghadapi gangguan air untuk kegunaan mereka.

“Masalah gangguan air serius berlaku sejak semalam (kelmarin) apabila kami 100 peratus terpaksa mencari sumber air dari tempat lain. Malah kami terpaksa memasak pelbagai lauk di tempat lain sebelum dibawa ke hospital untuk pengunjung dan kakitangan,” katanya.

Pencemaran bau sejak lima hari lalu

Sementara itu, 11 kawasan di sekitar daerah Hulu Langat dan Petaling masih berdepan masalah gangguan bekalan air susulan penutupan loji rawatan Sungai Semenyih akibat pencemaran bau sejak lima hari lalu.

Kawasan yang belum pulih membabitka­n sekitar Bandar Teknologi Kajang, Taman Kajang Utama, Sunway Semenyih, Bandar Tasik Kesuma, sekitar Desa Serdang dan Taman Bukit Semenyih.

Gangguan bekalan air juga masih berlaku di Taman Bukit Serdang, sekitar Seri Kembangan, Bandar Puchong Puteri, Taman Puchong Hartamas dan Pusat Bandar Puchong.

Bagaimanap­un, bekalan air ke sebahagian besar kawasan terjejas di daerah Kuala Langat dan Sepang hampir pulih dan setakat jam 5 petang, semalam, hampir 99 peratus kawasan di situ sudah pulih.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata langkah pemulihan sedang giat diusahakan untuk memulihkan semula bekalan air ke semua lokasi yang masih terjejas sehingga dijangka pulih sepenuhnya esok.

“Sehingga jam 5 petang tadi (semalam), bekalan air ke 78 peratus kawasan di Petaling dan 83 peratus kawasan di Hulu Langat sudah pulih dan usaha memulihkan bekalan air ke baki kawasan yang terjejas sedang dilakukan.

“Buat masa ini, bekalan air bantuan dihantar dengan lori tangki ke premis pengguna di kawasan yang masih belum pulih,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Katanya lagi, pengguna boleh mendapatka­n status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon pintar MYSYABAS dan dan juga laman web www.syabas.com.my.

Sementara itu, EXCO Pelanconga­n, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, berkata loji rawatan sudah beroperasi semula sejak 24 September lalu selepas dihentikan tugas sementara selama tiga kali dalam tempoh 48 jam susulan pencemaran bau yang berlaku.

Katanya, Kumpulan Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan akan membawa perkara itu sehingga ke muka pengadilan.

 ?? [FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] ?? Anggota tentera membantu menghantar bekalan air kepada penduduk di Bandar Sanway Semenyih yang mengalami masalah gangguan bekalan air.
[FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] Anggota tentera membantu menghantar bekalan air kepada penduduk di Bandar Sanway Semenyih yang mengalami masalah gangguan bekalan air.
 ??  ?? Tandas Hospital Serdang terpaksa ditutup disebabkan masalah gangguan bekalan air.
Tandas Hospital Serdang terpaksa ditutup disebabkan masalah gangguan bekalan air.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia