Berita Harian

Pengusaha TASKA tidak mampu bayar gaji minimum RM1,000

-

Kuantan: Persatuan Pengasuh Negeri Pahang mendakwa 142 TASKA atau 69.95 peratus daripada 203 TASKA berdaftar di seluruh negeri ini tidak dapat melaksanak­an perintah gaji minimum RM1,000 yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Presidenny­a, Zubaidah Husin berkata, 36 TASKA sudah menamatkan operasi kerana tidak mampu membayar gaji minimum kepada kakitangan­nya dan hanya 25 TASKA dapat membayar gaji maksimum walaupun ada yang mendakwa terpaksa menanggung kerugian.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai pihak berkaitan diminta menyediaka­n mekanisme lebih sesuai bagi membantu pengusaha TASKA melaksanak­an perintah gaji minimum atau mereka terpaksa gulung tikar kerana menanggung kos operasi yang lebih tinggi.

Mohon tukar status caj

Beliau turut memohon Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Telekom Malaysia menukar status caj perniagaan kepada perkhidmat­an sosial seperti di masjid atau rumah ibadat kerana TASKA bukan perniagaan produk.

“Kerajaan juga boleh membantu dengan memberi subsidi kepada seorang kanak-kanak yang dihantar ke TASKA supaya ibu bapa kekal membayar antara RM300 ke RM350, manakala kos tambahan ditanggung kerajaan.

“Kita juga mencadangk­an syarikat korporat atau swasta tidak membuka TASKA di pejabat tetapi memilih TASKA berdekatan untuk pekerja mereka menghantar anak dan diberikan subsidi. Ini situasi menang-menang antara pekerja, majikan dan pengusaha TASKA,” katanya pada sidang media di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, semalam.

Zubaidah berkata, sebagai contoh, kos bulanan pengusaha TASKA yang beroperasi di rumah semid, jumlah kanak-kanak dibenarkan ialah 20 orang dengan enam pengasuh, bermaksud gaji minimum RM6,000, tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

“Sewa rumah RM1,300, barang makan RM1,000, bil air, elektrik, telefon dan internet sudah melebihi RM300, menjadikan kos keseluruha­n RM9,000.

“Jika bayaran seorang kanak-kanak RM300, bermaksud pendapatan TASKA hanya RM6,000 sebulan.

“Mengikut perkiraan mudah ini juga menunjukka­n TASKA boleh mendapat pulangan modal jika bayaran seorang kanak-kanak ialah RM500 ke RM600, namun jumlah berkenaan mahal dan pasti membebanka­n ibu bapa menghantar dua atau tiga orang anak ke TASKA,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia