Memperkasa sektor pertanian negara
Pada suatu ketika pertanian adalah satu sektor terpenting di dalam ekonomi negara. Ia bukan sahaja penyumbang terbesar pekerjaan kepada penduduk, malah turut menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.
Malaysia mempunyai tanah subur sesuai untuk kebanyakan tanaman tropika. Justeru, Malaysia turut menjadi mangsa kepada dasar mercantalisme penjajah di dalam usaha merebut kekayaan sumber negara, selepas dijajah berabad-abad dan hasil kekayaan dikaut.
Namun, tidak dinafikan kehadiran penjajah turut menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian. Tanaman baharu seperti getah dan kelapa sawit diperkenalkan.
Kaedah pertanian moden diperkenalkan. Banyak ladang dibuka selepas hasil hutan dieksploitasi.
Pembukaan ladang oleh penjajah pada peringkat awal menggalakkan migrasi buruh dari luar negara. Pada masa sama, kewujudan ladang komersial terbabit turut membantu membangunkan sektor pertanian tradisi secara kecil-kecilan, secara langsung atau tidak langsung.
Amalan pertanian baik dengan teknik moden turut diterapkan ke dalam sektor pekebun kecil. Tidak ketinggalan banyak ladang asing dibeli oleh syarikat tempatan, terutama syarikat milik kerajaan.
Banyak ladang baharu dibuka oleh agensi pembangunan wilayah di dalam usaha kerajaan untuk mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat, sekali gus membantu membasmi kemiskinan.
Institusi pendidikan pertanian
Selari dengan pertumbuhan sektor pengeluaran komoditi pertanian, banyak agensi berkaitan pembangunan pertanian tumbuh dengan pesat. Ini termasuk agensi yang berkaitan penyelidikan dan pendidikan.
Penubuhan kolej pertanian dan institut pertanian bukan sahaja berjaya mendidik pekerja mahir dan separa mahir dalam sektor pertanian, malah turut melahirkan pemimpin berkaliber. Kepentingan institusi pendidikan pertanian ini turut melihat kolej pertanian dinaik taraf kepada sebuah universiti, iaitu Universiti Pertanian Malaysia
(kini Universiti Putra Malaysia).
Kini, kepentingan sektor pertanian dari segi sumbangan kepada pendapatan negara sudah menurun, diambil alih oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Pada 2015, sektor perkhidmatan menyumbangkan 53.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Diikuti sektor pembuatan dengan sumbangan 23 peratus dan sektor pertanian hanya menyumbang
8.8 peratus. Perkembangan ini adalah selari dengan arah aliran negara maju di dunia.
Namun, sektor pertanian masih menjadi penyumbang kepada punca pendapatan yang penting, terutama untuk golongan Bumiputera di luar bandar. Pertanian tradisi secara kecilkecilan masih menjadi aktiviti utama di luar bandar. Mungkin sesetengah daripada mereka adalah petani sambilan untuk menampung pendapatan isi rumah yang juga kebanyakannya berada di bawah purata nasional.
Memaksimumkan nilai tambah
Keadaan seperti ini juga baik untuk melangsungkan kewujudan sektor pertanian. Jika tidak, akan berlaku ketidakseimbangan di dalam kegunaan tanah. Mungkin banyak tanah pertanian akan ditinggalkan tanpa diusahakan. Ini bermakna sumber negara tidak dioptimumkan.
Maka, wujud suatu dilema yang mana pertanian masih penting dari segi menyerap guna tenaga negara dan membantu mengoptimumkan kegunaan sumber, namun kebanyakan petani terbabit masih menjadi golongan yang miskin.
Dua isu penting perlu ditangani di dalam konteks ini untuk mengoptimumkan kegunaan sumber negara. Pertama, kegunaan tanah pertanian adalah di bawah potensi sebenar berdasarkan amalan pertanian secara tradisi yang kurang mengambil berat mengenai amalan pertanian yang baik.
Kedua, pekerja di dalam sektor ini tidak membabitkan pekerja mahir yang bersesuaian, cuma semata-mata terdiri daripada petani secara terpaksa kerana tiada pekerjaan lain. Jika kedua-dua isu ini dapat ditangani, sudah tentu sumbangan sektor pertanian kepada pendapatan negara mampu ditingkatkan.
Secara ringkas, nilai tambah sektor pertanian dapat dimaksimumkan dengan cara mengoptimumkan kegunaan tanah pertanian dan pembabitan yang bererti di dalam industri hiliran sektor pertanian. Kesan langsung yang dapat dilihat adalah pengurangan tanah pertanian yang terbiar dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berasaskan pertanian.
Untuk merealisasikan hasrat ini, suatu pendekatan yang mana pertanian sebagai pekerjaan pilihan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar pilihan terakhir kerana tiada pekerjaan lain. Ini bermakna, aktiviti pertanian dijalankan dengan lebih serius berdasarkan ilmu bersesuaian. Pendekatan ini memberi erti pembabitan pekerja mahir di dalam sektor pertanian.
Pekerja mahir, profesional
Dari sudut pengeluaran, petani perlu mengamalkan kaedah pertanian dan pengurusan pertanian yang baik untuk memaksimumkan keuntungan. Dengan ini, aktiviti pertanian dijalankan sebagai suatu perniagaan.
Segala aspek teknikal seperti agronomi, pengurusan dan perniagaan tani perlu dititikberatkan. Dengan ini aktiviti pertanian akan berpindah dari status pertanian tradisi kepada satu pekerjaan yang lebih sistematik.
Kesinambungan daripada aktiviti pengeluaran pertanian ini adalah pembabitan di dalam industri hiliran, terutama dalam kalangan PKS, yang mampu menjana nilai tambah yang tinggi. Pertumbuhan industri hiliran, seterusnya menjamin permintaan yang berterusan untuk komoditi pertanian.
Pertumbuhan sektor pertanian secara komprehensif begini memerlukan pembabitan pekerja mahir dan profesional yang dikeluarkan oleh institusi pendidikan tinggi pertanian, dari peringkat institut hinggalah ke peringkat universiti.
Graduan pertanian ini perlu digalakkan untuk bekerja sendiri menjalankan usaha pertanian sebagai suatu perniagaan. Sebagai perintis, dasar yang sesuai perlu diwujudkan untuk menggalakkan graduan berkaitan pengajian pertanian bekerja sendiri. Ini adalah jalan ke hadapan ke arah pencapaian taraf sebagai sebuah negara maju.