PDRM lega singkir pasukan pilihan
Melaka: Ketika undian suku akhir Piala Malaysia menemukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan, tidak ramai memilih barisan The Cops mampu mara ke separuh akhir berdasarkan kredibiliti skuad The Red Warriors (TRW).
Namun kritikan dan pandangan sinis itu berjaya dipadam PDRM walaupun tewas 0-1 kepada juara dua kali Piala Malaysia itu pada saingan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin dan menghimpun agregat 2-2, namun skuad berkenaan mara berdasarkan jaringan di gelanggang lawan.
Sambil tidak menduga mara berikutan lawan dilihat sebagai pasukan pilihan menerusi rekod enam kali ke final piala berprestij terbabit, pengendali PDRM, Mohd Fauzi Pilus tidak menyembunyikan kepuasannya dengan menghamburkan pujian kepada semua pemain, pengurusan dan penyokong selepas bertindak cemerlang mencatat sejarah pasukan.
Fokus lakar sejarah
Mohd Fauzi berkata, kecemerlangan benteng mempertahankan kubu pasukan diketuai Souleymane Konate dan penjaga gol, Mohd Haziq Nadzli nyata menjadi antara faktor pasukan mara menerusi agregat 2-2 dengan kelebihan jaringan di gelanggang lawan.
Mohd Fauzi juga lega menerusi sentuhan Mohd Fakhrul Aiman yang menggantikan Gulileherma de Puala di barisan depan kerana memperaga aksi meyakinkan untuk mengasak kubu pelawat bimbingan Velizar Popov.
Kini, fokus pasukan itu pastinya mahu melakar sejarah lebih besar dengan mara ke final piala berprestij itu dan Mohd Fauzi akan meningkatkan perencanaan terbaik menjelang pertemuan pusingan pertama berdepan Kedah di Alor Setar 30 September ini.