30,000 kunjungi Karnival Sukan Laut Tanjung Kupang
Gelang Patah: Kira-kira 30,000 pengunjung memeriahkan Karnival Sukan Laut Mukim Tanjung Kupang Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya 2016 yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam di Jeti Kampung Ladang Hujung dekat sini.
Sempena program itu, lebih 400 peserta termasuk golongan belia terutama penduduk berhampiran menyertai 23 kategori sukan darat dan laut.
Program dengan kerjasama Forest City itu bertujuan menggalakkan aktiviti sukan, selain mempromosikan kehidupan yang aktif dalam kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata acara tahunan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk tempatan yang mencecah hampir 30,000 orang.
Katanya, pembabitan semua lapisan masyarakat dalam membudayakan sukan dapat meningkatkan kesihatan mental, sekali gus memupuk semangat perpaduan rakyat Johor.
“Kerajaan negeri mengalukan usaha seumpama ke arah mengekalkan tahap kesihatan, selain menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dan bukan hanya semata-mata untuk pertandingan.
“Ini adalah penting dalam usaha kerajaan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif termasuk memanfaat bantuan yang disediakan bagi meningkatkan program kesukanan termasuk aktiviti belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program Karnival Sukan Laut Mukim Tanjung Kupang DUN Nusajaya 2016 dekat sini, semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.