Peluang balas jasa ibu bapa
Seminar SPM anjuran YBR bantu calon capai keputusan cemerlang untuk ke universiti
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai Seminar Didik Rakyat anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dinasihatkan supaya memanfaatkan semua ilmu yang diperoleh sepanjang seminar sebagai persiapan menduduki peperiksaan itu nanti.
Ketua Wilayah Lapan Bank Rakyat (Perak), Aznan Ali Othman, berkata peluang menghadiri seminar yang disediakan secara percuma oleh YBR dengan kerjasama
itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Beliau berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh dalam SPM nanti sekali gus membantu membuka laluan mudah kepada pelajar memasuki universiti selepas tamat persekolahan.
“Saya ingatkan di sini, apabila seseorang pelajar mendapat keputusan yang cemerlang, mereka dapat masuk universiti yang bagus dan selepas itu mereka berpeluang mendapat pekerjaan di tempat kerja terbaik.
“Dari situ mereka dapat kerja yang bagus dan akhirnya dapat membantu membalas jasa ibu bapa masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar itu, di sini baru-baru ini.
Majlis perasmian seminar itu disempurnakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, (Perhubungan) Kamaruddin Ismail.
Capai kecemerlangan
Sekolah yang menghantar peserta iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, SMK Methodist ACS Ipoh, SMK Anderson Ipoh, SMK Tanjung Rambutan, Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, SMK Raja Perempuan Ipoh dan Pusat Pendidikan Al Barakah Ipoh.
Sementara itu, Kamaruddin berkata, pelajar di kawasan bandar harus menggunakan peluang yang disediakan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik kerana mereka mempunyai banyak akses bagi memperoleh ilmu berkaitan.
Beliau berkata, bukan semua pelajar berpeluang menghadiri seminar seperti itu, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Jika dibandingkan, pelajar di bandar lebih mempunyai banyak akses untuk mendapatkan ilmu seperti kemudahan internet dan sebagainya. Namun apabila memperoleh keputusan, pelajar luar bandar lebih ramai yang berjaya,” katanya.