Berita Harian

Kreativiti jana pendapatan

Program perkasa wanita beri peluang peserta jadi usahawan dalam bidang jahitan

- Mohd Amin Jalil

Konsep jahitan buatan tangan atau ‘Handmade Market’ anjuran Jabatan Pembanguna­n Wanita Negeri Sembilan (JPWNS) dengan kerjasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dan Pusat Latihan Kraftangan Epal (Epal) berjaya meningkatk­an sosioekono­mi peserta.

Program peringkat negeri itu yang mula dilancarka­n awal Jun tahun lalu, memberi peluang kepada wanita terutama suri rumah dan ibu tunggal menambah pendapatan keluarga.

Malah program berkenaan juga memberi peluang kepada peserta menjadi usahawan dalam bidang jahitan dengan memasarkan produk di kompleks belibelah terpilih.

Sejak ia dilancarka­n, beberapa peserta terbabit kini sudah boleh menarik nafas lega dan gembira apabila mampu memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan walaupun dilakukan secara sampingan.

Pengarah JPW Negeri Sembilan Ruzanna Sager Ahmad berkata, program berkenaan dilihat mampu menjadi platform kepada usahawan dan wanita menjana pendapatan dengan memasarkan produk buatan sendiri.

Katanya, fokus utama adalah membantu wanita menjana pendapatan sampingan dengan hanya menggunaka­n idea kreatif tersendiri bagi mengeluark­an produk tekstil terutama beg dan pelbagai produk lain.

“Setakat ini terdapat 120 peserta dari negeri ini yang sudah berdaftar menyertai program berkenaan yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti ibu tunggal, warga emas, suri rumah dan orang kurang upaya (OKU).

“Peserta diberikan bimbingan dalam bidang jahitan oleh PSJK berpusat di Terminal One Seremban sehingga mereka mampu mengeluark­an produk sendiri dan berpeluang memasarkan produk terbabit di kompleks membeli-belah terpilih,” katanya.

Ruzanna berkata, pihaknya mengadakan empat siri program pemasaran tahun ini selama lima hari dengan siri pertama diadakan awal Jun lalu manakala siri berikutnya pada 24 hingga 28 Ogos 2016, November 2016 dan Februari 2017 di Hotel Pall Mall, Seremban.

Beliau berkata, penyertaan masih terbuka dan peserta yang berminat hanya perlu membayar yuran pendaftara­n RM10.

Menurutnya, program ini bukan mengutamak­an peserta yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang jahitan sebaliknya latihan akan diberikan kepada yang kurang mahir sehingga mampu mengeluark­an produk sendiri.

“Malah JPWNS dan PSJK akan membantu mereka memasarkan produk dihasilkan di pusat belibelah dengan kadar caj yang rendah sekali gus berpeluang meraih nilai jualan dan keuntungan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSJK yang juga Pengasas Epal, Fully Chye Goet Lee berkata, program berkenaan dirangka bagi menyediaka­n peluang kepada peserta agar dapat menambah pendapatan isi rumah sekali gus mengurangk­an kebergantu­ngan kepada bantuan sosial semata-mata.

Katanya, peserta boleh menjadikan program terbabit sebagai langkah permulaan dalam bidang keusahawan­an.

“Ia mengguna pakai konsep dua bulan setengah untuk menghasilk­an produk di rumah manakala lima hari pula untuk menjalanka­n perniagaan.

“Selepas diberikan bimbingan, peserta boleh menggunaka­n kreativiti sendiri termasuk memanfaatk­an bahan terbuang seperti kertas dan kain perca untuk dijadikan beg tangan atau produk kraf lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mempunyai tenaga pengajar mencukupi untuk membimbing peserta, malah pernah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Record (MBOR) melalui jahitan beg terbesar.

“Kami berharap wanita di luar sana dapat merebut peluang ini kerana ramai kalangan peserta sudah membuktika­n kemampuan dengan menghasilk­an produk bermutu dan mendapat permintaan baik apabila dipasarkan,” katanya.

Noor Sharifah Kamaruzama­n, 51, dari Senawang berkata, program itu membuka peluang kepadanya mencari platform lebih besar dan sesuai untuk memasarkan barangan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, lebih 10 tahun dia mengambil upah menjahit langsir, cadar, bunga dan kraf tangan lain namun tidak dapat mengembang­kan perniagaan.

“Untuk mendapatka­n tapak di pusat beli-belah bukan mudah kerana kadar sewanya yang tinggi, tetapi melalui program ini semuanya disediakan oleh penganjur dan kita hanya dikenakan bayaran tapak yang rendah dan munasabah,” katanya.

Kakitangan sebuah rumah kebajikan di Seremban itu berkata, melalui sistem penjualan produk setiap tiga bulan, dia kini boleh membahagik­an masa dengan lebih baik.

“Dengan jangka masa yang diberikan, peserta dapat merancang untuk menyiapkan produk sebelum dijual,” katanya yang mampu meraih jualan kira-kira RM2,000 sebulan melalui perniagaan itu.

 ??  ?? RUZANA (kiri) bersama sebahagian peserta yang sudah bergelar usahawan.
RUZANA (kiri) bersama sebahagian peserta yang sudah bergelar usahawan.
 ??  ?? FULLY CHYE (tengah) bersama sebahagian tenaga pengajar PSJK menunjukka­n sijil Malaysia Book of Record mereka.
FULLY CHYE (tengah) bersama sebahagian tenaga pengajar PSJK menunjukka­n sijil Malaysia Book of Record mereka.
 ??  ?? SEBAHAGIAN peserta baru program jahitan tangan.
SEBAHAGIAN peserta baru program jahitan tangan.
 ??  ?? RUZANA
RUZANA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia