Berita Harian

Lupakan niat melancong

Khairy gesa atlet galas cabaran di Rio tampil aksi terbaik

- Oleh Naqib Nor Said

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengingatk­an barisan atlet yang akan beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro supaya melupakan niat untuk melancong.

Ini kerana, daripada 32 atlet yang berjuang di temasya sukan terbesar dunia itu, tidak semua meletakkan sasaran untuk meraih pingat sekali gus timbul kebimbanga­n mereka hanya akan menconteng malu kepada kontinjen negara dengan menjadi mangsa belasahan.

Justeru, Khairy berkata tiada alasan untuk atlet negara tidak menampilka­n aksi terbaik tatkala mereka boleh menjadikan temasya bermula 5 Ogos itu sebagai medan memperbaha­rui masa peribadi dan rekod kebangsaan.

“Olahraga sebagai contoh, mereka perlu ke sana buat catatan peribadi terbaik atau cuba untuk memperbaha­rui rekod kebangsaan, kita tidak mahu ada atlet yang menjadi pelancong sukan.

“Mereka yang terpilih, tidak kira sama ada secara merit atau kuota serantau, mereka perlu buktikan kemampuan diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatan­gani perjanjian tajaan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 dengan Naza Corporatio­n Holdings Sdn Bhd (Naza) di Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS), semalam.

Sasaran realistik

Ketika ditanya mengenai peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas Olimpik, Khairy berharap sukan yang disasarkan pingat seperti badminton, terjun dan basikal dapat memenuhi potensi sebenar mereka.

“Saya percaya, jika mereka berjaya penuhi kemampuan sebenar, Malaysia mampu meraih pingat emas pertama dan pingat emas ini mungkin boleh datang daripada dua, tiga atau empat atlet negara.

“Sekiranya (Datuk Lee) Chong Wei beraksi cemerlang, Azizul (Azizulhasn­i Awang) menjuarai final keirin, beregu badminton... Pandelela (Rinong) lakukan kejutan... tidak dapat emas mungkin perak, ia tidak mustahil.

“Ini adalah sasaran realistik, memanah juga ada peluang untuk menyumbang pingat,” katanya

Sejak menyertai Sukan Olimpik pada 1956, Malaysia hanya pernah memenangi tiga pingat perak menerusi pasangan beregu Cheah Soon Kit-yap Kim Hock di Atlanta 1996 dan Chong Wei pada 2008 di Beijing dan 2012 di London.

Pingat gangsa pula pernah dimenangi Razif-jalani Sidek di Barcelona 1992, Rashid Sidek (Atlanta 1996) dan Pandelela Rinong memecah tradisi badminton apabila meraih pingat gangsa dari acara terjun di London 2012.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia