Berita Harian

Perak, Pahang kongsi misi sama

- Oleh Azizan Hashim dan Asrol Awang

Ipoh: Selepas melakar dua kemenangan di laman sendiri, Perak memburu kemenangan pertama di gelanggang lawan apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang, malam ini.

Justeru, jurulatih Bos Gaurus, Karl Heinz Weigang berharap anak buahnya meneruskan rentak cemerlang mereka dalam usaha mengukuhka­n kedudukan dalam Liga Super.

“Jika menang kami akan terus mendaki carta seperti yang berlaku Sabtu lalu. Setiap perlawanan adalah penting kerana kedudukan mata agak rapat. Jadi, kekalahan akan memberi peluang lawan memintas kami,” kata jurulatih itu yang mempunyai misi utama menyelamat­kan Perak dari terjerumus ke Liga Perdana.

Berikutan itu, jurulatih Jerman berkenaan menuntut aksi bertenaga seperti ketika bertemu PKNS FC dan yang terbaru Terengganu, Sabtu lalu.

“Pertemuan menentang Pahang ini pasti tidak mudah kerana tuan rumah juga berhasrat mengutip mata penuh bagi memperbaik­i kedudukan mereka. Jadi saya berharap pemain lakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Razip Ismail menegaskan kebangkita­n yang dipersemba­hkan Perak tidak menggentar­kan barisannya, sebaliknya yakin mereka mampu memanfaatk­an kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melakar kemenangan.

Mahu kekal di Liga Super

Justeru, Razip mahu pemainnya menggandak­an usaha terutama menajamkan lagi sentuhan jaringan selepas kegagalan menjaringk­an gol pada dua perlawanan sebelum ini termasuk seri 0-0 dengan Kelantan, Sabtu lalu.

“Saya tidak mahu melihat mereka beraksi tidak konsisten kerana aksi pusingan kedua ini penting untuk memastikan skuad Tok Gajah kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

“Kebangkita­n Perak diharap tidak mengganggu tumpuan pasukan untuk mencatat kemenangan kerana kedudukan di tangga ke-10 kini tidak menjamin Pahang kekal dalam liga musim depan.

“Saya percaya tiga mata akan menjadi milik Pahang walaupun sedar misi Perak adalah membawa pulang mata,” kata Razip.

 ?? [ FOTO MUHAIZAN YAHYA / BH ] ?? Pemain import Perak, Elias Fernandes De Oliveira (kanan) diasak pemain Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
[ FOTO MUHAIZAN YAHYA / BH ] Pemain import Perak, Elias Fernandes De Oliveira (kanan) diasak pemain Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia