Berita Harian

Suspek rogol kena tahan ketika dirawat

Lelaki cedera kena tikam dalam pergelutan selepas perkosa mangsa

- Oleh Mohamed Farid Noh

Seorang lelaki yang melarikan diri selepas merogol seorang pekerja Vietnam di sebuah asrama pekerja di sini, ditahan polis ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, suspek berusia 22 tahun dan menganggur itu ditahan sepasukan polis ketika sedang menerima rawatan di HSNI akibat cedera ditikam di belakang badannya, dipercayai akibat pergelutan selepas merogol mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata lelaki itu ditahan hasil makluman orang awam dan kes berkenaan berjaya diselesaik­an dalam tempoh 24 jam.

Katanya, lelaki berkenaan diburu polis kerana melarikan diri selepas merogol pekerja Vietnam berusia 30 tahun ketika wanita itu baru pulang ke asramanya di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Tarik mangsa dalam bilik

“Lelaki itu berada di asrama berkenaan dan secara tiba-tiba menarik mangsa ke dalam bilik lalu merogolnya.

“Pada masa sama, adik lelaki dan suami mangsa kebetulan pulang ke asrama dan bergelut dengan suspek menyebabka­nnya cedera ditikam di belakang sebelum sempat melarikan diri.

“Usaha memburu suspek digerakkan selepas menerima laporan mangsa dan suspek berjaya ditahan kira-kira jam 1.45 pagi tadi (semalam) ketika dirawat di HSNI hasil maklumat awam,” katanya

Abdul Wahib berkata, suspek kini direman tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Katanya, suspek yang cedera akibat tikaman di belakang bahu kirinya, stabil dan masih dirawat di HSNI dengan kawalan rapi polis.

“Polis juga sudah mendapatka­n rakaman percakapan suami dan adik mangsa yang juga saksi utama kejadian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia