Berita Harian

Hasrat ke Tanah Suci tercapai selepas menabung 47 tahun

-

Kuala Kangsar: Bermula dengan simpanan RM5 dalam simpanan Tabung Haji (TH) menerusi gaji pertama pada tahun 1969, impian seorang pesara kerajaan menunaikan ibadah itu tercapai tahun ini.

Mohamad Ali Abdul Manap, 65, berkata berkat kesabaran menabung, akhirnya simpananny­a cukup untuk menunaikan haji sebelum mendaftar bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun 2007.

“Peringkat awal, saya menabung RM5 saja menerusi potongan gaji, maklumlah baharu mula bekerja sebagai pembantu tadbir sekolah.

“Lama kelamaan jumlahnya semakin meningkat dan kalau ada rezeki yang lebih, saya akan menyimpan di TH,” katanya ketika ditemui pada program Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Ke Tanah Suci bersama isteri

Mohamad Ali berkata, lebih menggembir­akan apabila beliau dan isteri dipilih ke Tanah Suci tahun ini sedangkan menurut giliran sepatutnya mereka berdua menunaikan haji tahun hadapan.

Sementara itu, Hendon Abdul Hamid, 67, kakak kepada pelakon dan pelawak, Allahyarha­m Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih popular dengan panggilan Os, berkata beliau mula menyimpan di TH sejak bersara sebagai kakitangan di sebuah syarikat swasta.

“Selepas bersara, saya uruskan inap desa milik arwah (Os), jadi sedikit sebanyak dapat membantu simpanan saya untuk menunaikan haji,” katanya.

Bagi Rafizan Abd Samad, 42, pula, beliau memang berhasrat menunaikan haji pada usia muda supaya dapat melakukann­ya tanpa menyusahka­n orang lain.

Katanya, beliau sanggup berbelanja lebih untuk menyertai bakal jemaah haji menerusi agensi pengelola umrah dan haji.

“Saya dan suami mendaftar empat tahun lalu dan tahun ini Alhamdulil­lah dapat menunaikan­nya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia