Berita Harian

PM gesa segerakan projek basmi miskin tegar, tebatan banjir

Perbendaha­raan dan Kementeria­n Ekonomi diminta beri kelonggara­n lulus peruntukan

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim bhnews@bh.com.my Poverty · Politics · Society · Anwar Ibrahim · Fadillah Yusof · Kuala Lumpur · Malaysia · Kuala Lumpur City Hall

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua projek untuk kepentinga­n rakyat seperti membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir disegeraka­n.

Perdana Menteri berkata, beliau meminta perbendaha­raan negara dan Kementeria­n Ekonomi memberi kelonggara­n untuk mempercepa­t peruntukan yang diperlukan.

“Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n) untuk memastikan kita pantau umpamanya projek kemiskinan tegar. Saya periksa umpamanya (di) Parlimen Tambun, ada dalam 15 (keluarga miskin tegar). Itu boleh cari dan selesaikan dua hari, supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan.

“Begitu juga pelaksanaa­n projek (tebatan banjir). Saya selalu tanya Timbalan Perdana

Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) terutama tebatan banjir.

“Saya ada minta kalau boleh perbendaha­raan beri kelonggara­n supaya dapat dipercepat­kan melalui peruntukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpuna­n Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Lipat ganda usaha

Mengulas lanjut langkah kerajaan membasmi miskin tegar khususnya di Wilayah Persekutua­n, Anwar berkata, beliau sudah memaklumka­n kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutua­n), Dr Zaliha Mustafa supaya usaha itu dilipatgan­dakan.

“Saya sempat hubungi Dr Zaliha untuk pastikan jumlah (miskin tegar) itu diselesaik­an sama ada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), badan zakat dan majlis agama. Ini maksud saya supaya pantau.

“Walaupun kecil bagi saya, soal kemiskinan tegar, besar bagi keluarga itu. Yang lain kemiskinan relatif. Itu kita perlu ambil masa untuk selesaikan,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengarahka­n Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalka­n lesen bazar Ramadan yang dikeluarka­n jika mendapati ada peniaga memindahka­n lesen mereka kepada pihak lain.

Perdana Menteri menegaskan, isu ‘memindahka­n’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkua­saan lebih baik.

“Bayangkan orang nak berniaga pada Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan keluarga. Itu masih ada.

“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangka­n, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen. Dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan DBKL menguruska­n sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelengg­araan bazar Ramadan di ibu negara tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan, selain pengurusan lebih baik.

Dalam hal lain Perdana Menteri berkata, persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam mengurus ratusan program secara berkesan dilaksanak­an dengan baik oleh penjawat awam.

Beliau berkata, pengurusan ASEAN bukan sekadar soal kedudukan atau kebanggaan, tetapi mencermink­an kemampuan penjawat awam memastikan pentadbira­n negara berjalan lancar.

 ?? (Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) ?? Anwar bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) selepas majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
(Foto Mohd Fadli Hamzah/bh) Anwar bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) selepas majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia